PROSES PEMBENTUKAN AKTA PENDIDIKAN 1996



Sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, para pemimpin bersama-sama bersetuju untuk menentukan hala tuju kita sendiri. Bidang pendidikan merupakan salah satu bidang yang diberi tumpuan dalam menentukan hala tuju masa depan negara. Oleh itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta pelajaran 1961. Akta pelajaran Pelajaran 1961 telah menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar. Namun, pada masa kini Akta Pendidikan 1996 dijadikan rujukan untuk digunakan dalam sistem Pendidikan kebangsaan. Akta Pendidikan Merupakan Lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran 1961 yang bertujuan untuk memantapkan serta mengemaskinikan sistem pendidikan kebangsaan seiring dengan kehendak dan cita-cita negara Malaysia untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia. selain itu, akta ini juga menampilkan kesinambungan kepada hasrat dan dasar pendidikan yang sedia ada. Sehubungan itu, akta ini sangat berkaitan dengan perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi asas dasar pendidikan kebangsaan.
            Seperti yang telah diketahui sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia telah ditadbir selama 35 tahun di bawah peruntukan Akta pelajaran 1961. Akta ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan peruntukan yang didapati dalam Akta Pendidikan 1944 di England. Secara amnya, akta pelajaran 1961 adalah berdasarkan kepada cadangan=cadangan yang dikemukakan oleh Laporan Penyata Razak 1956. Kandungan utama yang terkandung dalam laporan tersebut adalah pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, Akta Pelajaran 1961 telah digubal yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat majmuk yang bersatu padu. Akta ini adalah merupakan satu akta yang akan mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak  kebangsaan yang memberi penekanan kepada penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, penggunaan kurikulum yang sama di semua sekolah dan pengambilan peperiksaan awan yang sama oleh semua murid. Hal ini demikian kerana untuk mewujudkan satu bentuk identiti kebangsaan yang menyumbang ke arah perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.
            Akta pelajaran 1961 sememangnya sesuai pada sekitar tahun 50-an dan 60-an kerana pada ketika itu negara baru sahaja mencapai kemerdekaan dan dasar pendidikan ketika itu berasaskan kepada penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) (Mohd.Ismail Othman, 2008). Unsur utama dalam  Akta Pelajaran 1961 adalah seperti memperkukuh sistem pentadbiran pendidikan melalui pelantikan pegawai utama (seksyen 3-8), menyediakan suatu rangka sistem pendidikan kebangsaan yang lebih kukuh (seksyen 19-24), mewajibkan pendaftaran semua sekolah dan institusi pendidikan (seksyen 44-52) dan pendaftaran guru (seksyen 74-88) dan seterusnya menggariskan tugas dan kuasa jemaah Nazir sekolah (seksyen 96-103). Menurut Tie Fatt Hee, 2002, cabaran yang di hadapi dalam sistem pendidikan kebangsaan ketika itu boleh dirumuskan dalam bahagian awal akta pelajaran 1961. Polisi pendidikan adalah seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 iaitu membentuk sistem pendidikan kebangsaan yang memenuhi keperluan negara dan dapat memperkembangkan budaya, sosial, ekonomi dan politik.
            Salah satu daripada sistem pendidikan yang jelas dan spesifik apabila cadangan Laporan Rahman Talib 1960 diterima dan diluluskan Parlimen dalam bentuk Akta pelajaran 1961 ialah aspek pemusatan. Sehubungan itu, Menteri Pelajaran telah memperoleh autoriti yang signifikan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pelajaran. Menteri pelajaran tersebut bertanggungjawab dalam menguruskan segala pentadbiran pendidikan negara seprti dipersetujui Parlimen.  Penggubalan Akta Pelajaran 1961 juga bukan digubal dengan sewenang-wenangnya, namun lebih kepada penelitian laporan-laporan pendidikan yang dibuat pada sebelumnya seperti Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957. Seterusnya Penyata Razak tersebut disemak semula oleh Jawatankuasa Penyemak yang diketuai oleh Menteri Pendidikan ketika itu iaitu Encik Abdul Rahman Talib pada tahun 1960 bertujuan untuk memantapkan dan memperkukuhkan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Justeru, kesemua perkara yang diterima daripada Laporan Razak dan perakuan yang dibuat dalam Jawatankuasa Penyemak 1960 ini digabungkan ke dalam suatu peruntukan undang-undang pelajaran yang kemudiannya dinamakan Akta Pelajaran 1961. Selain itu pada tahun 1989, sistem pendidikan negara telah melangkah ke satu tahap apabila Falsafah Pendidikan Negara diperkenalkan secara bertulis semasa di bawah Menteri Pendidikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Falsafah ini menitik beratkan pembinaan potensi individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, sejajar dengan aspirasi negara dan kepatuhan kepada Tuhan.     

            Memasuki zaman globalisasi dalam bidang ekonomi, sains, teknologi serta maklumat menampakkan persekitaran yang baru dan memberi cabaran dan kesan kepada masyarakat dan negara. Di samping itu, negara juga sedang berusaha keras untuk mencapai matlamat negara maju menjelang tahun 2020 pada masa yang sama. Oleh itu, perubahan perlu dilakukan dalam sistem pendidikan negara kerana sistem pendidikan merupakan peranan penting bagi mencapai hasrat tersebut. Sistem pendidikan kebangsaan mesti dimantapkan dan penggubalan undang-undang baru hendaklah sesuai bagi mencapai hasrat dan cita-cita negara. Akta yang diguna pakai ketika itu iaitu Akta Pelajaran 1961 dilihat tidak sesuai lagi untuk digunakan walaupun berjaya mencapai beberapa objektif. Walau bagaimanapun, disebabkan negara ini ingin memenuhi tuntutan masa dalam zaman globalisasi serta hendak mencapai wawasan 2020, satu perundangan yang lebih sesuai perlu diwujudkan bagi bersaing dengan negara-negara maju.
            Menurut Mohd. Ismail Othman, 2008, semasa Menteri Pendidikan membentangkan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 pada bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan Rang Undang-undang Pendidikan itu adalah yang baru, menyeluruh, lengkap dan kemas kini bagi menggantikan Akta Pelajaran 1961 yang akan dimansuhkan dengan berkuat kuasanya Akta Pendidikan yang baru. Satu Akta Baru iaitu Akta Pendidikan 1996 atau juga dikenali sebagai Akta 550 telah diwujudkan untuk mengadakan peruntukan undang-undang bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini diwujudkan bertujuan untuk memantapkan sistem pendidikan untuk generasi yang akan datang sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bertaraf dunia. Walaupun Akta Pendidikan 1996 adalah akta baru, tetapi masih mempunyai kesinambungan kepada dasar pendidikan yang sedia ada.
            Penggubalan Akta 1996 mengambil masa selama enam tahun dan dipengerusikan oleh tiga Menteri Pendidikan. Jawatankuasa peringkat menteri mengkaji dan meneliti rang undang-undang secara terperinci sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat. Ketika proses penggubalan rang undang-undang itu, pandangan diperolehi daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan pendidikan, sosial, agama, politik serta orang perseorangan. Pada bulan Ogos dan september, Majlis Perundingan Akta Pendidikan yang terdiri daripada 81 orang ahli daripada pelbagai pertubuhan bersidang bagi memberi pandangan dan cadangan bagi memantapkan rang undang-undang tersebut. Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, apabila Rang Undang-undang Pendidikan dibentangkan pada 18 september menyebut bahawa perundangan itu adalah satu rang undang-undang yang baru dan bukan pindaan daripada Akta Pelajaran1961.
            Kesannya, Bermulanya pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 telah merubah lanskap baru terhadap sistem pendidikan negara dengan menuju ke peringkat yang lebih tinggi. Akta Pendidikan 1996 yang dilaksanakan telah digubal berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan ini adalah berpaksikan kepada perakuan-perakuan Penyata Razak dan laporan Rahman Talib. Sehubungan itu, Konsep pengetahuan telah menjadi asas utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Perkembangan pesat dalam semua bidang seperti bidang sains, teknologi maklumat dan peranan signifikan internet memerlukan seseorang individu itu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang relevan untuk mengekalkan status dan daya saing. Sekarang, Akta Pendidikan 1996 masih diguna pakai dalam sistem pendidikan negara untuk mencapai matlamat negara maju tahun 2020.

            

Catat Ulasan

0 Ulasan