PERANAN GURU BIASA SEBAGAI KAUNSELOR

Proses bimbingan dan kaunseling di peringkat sekolah  bukan hanya digalas oleh guru kaunseling sahaja namun semua pihak termasuk guru biasa juga terlibat secara langsung dalam proses bimbingan dan kaunseling pelajar. Selain itu, bukan semua sekolah yang mempunyai seorang guru kaunselor dalam sistem persekolahan. Justeru, kadang-kadang guru biasa juga menjalankan fungsi-fungsi sebagai guru bimbingan dan seorang kaunselor. Peranan guru-guru biasa adalah sangat penting kerana mereka mengenali murid-murid dalam bilik darjah dengan baik dan dapat membekalkan maklumat yang berkaitan dengan tingkah laku bermasalah semua murid-murid mereka. Menurut A. Ghani Abdullah dan Abd. Rahman Abd. Aziz (2009), guru perlu mempunyai sikap dan keperibadian sebagai kaunselor ataupun pembimbing kepada para pelajar memandangkan gurulah yang memainkan peranan yang besar dan penting alam membentuk pelajar yang baik dan berketerampilan. Oleh itu, guru tidak boleh mengelakkan peranan sebagai kaunselor atau pembimbing kepada pelajar, bukan sahaja dalam mata pelajaran yang diajarnya, malah juga dalam menangani cabaran dan masalah harian yang dihadapinya.

Gambar Hiasan
            Antara peranan guru biasa sebagai kaunselor atau pembimbing ialah membantu dan membimbing pelajar mengatasi masalah yang dihadapi seperti masalah berkaitan dengan pembelajaran, sosioekonomi dan keluarga. Sebagai contoh, guru membimbing sekumpulan pelajar melaksanakan tugasan yang diberi sukar seperti latihan matematik dan akan memudahkan pelajar memahami dan menyelesaikan latihan tersebut. Dalam masalah sosial emosi seperti kecewa, bosan, dan sebagainya, guru perlu membimbing pelajar-pelajar berkenaan supaya dapat membina keyakinan diri semula dan menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif. Terdapat juga sesetengah kes pelajar menghadapi masalah keluarga seperti perceraian. Dalam hal ini, peranan guru diperlukan untuk menasihati dan berbincang dengan pelajar untuk mencari punca berlakunya masalah keluarga. Guru juga boleh membimbing pelajar sekiranya pelajar tidak mampu menyelesaikan masalah sendiri. Dalam konteks ini, guru harus peka dan mengambil berat tentang setiap pergerakan dan tingkah laku pelajar. Sekiranya mendapati muri-murid menghadapi masalah, guru perlu membimbing mencari cara menyelesaikan maslah secara positif supaya masalah disiplin bilik darjah tidak wujud seperti tidak menumpukan perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan, tidur dan sebagainya.

            Selain itu, peranan guru biasa sebagai kaunselor adalah membantu mengembangkan kebolehan pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar di sekolah mempunyai tahap kebolehan yang berlainan sama ada pelajar pintar, sederhana dan lemah. Menurut Ramlah Jantan dan Mahami Razali ( 2002 ) telah membahagikan aspek-aspek perbezaan individu kepada sebelas aspek yang berlainan, iaitu fizikal, emosi, kecerdasan, sosial, budaya , personaliti, bakat, minat, latar belakang dan lain-lain. Justeru, guru memainkan peranan dalam membimbing dengan menyediakan pelbagai aktiviti pengayaan untuk mencabar pemikiran mental mereka. Hal ini akan menggalakkan pelajar lebih terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Dalam konteks ini, guru haruslah memberi peluang kepada murid-murid yang lebih lemah untuk melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran supaya mereka berasa disayangi dan akan melibatkan diri secara aktif semasa pengajaran dijalankan. Di dalam kelas, guru boleh menggunakan teknik atau kaeah menyoal, teknik peneguhan, serta memberi dorongan kepada para pelajar supaya kebolehan dapat dikembangkan. Kebolehan murid mestilah dikembangkan dengan seimbang dari semua aspek iaitu jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial.
                Di samping itu, peranan guru biasa sebagai kaunselor ialah menolong pelajar membuat penyesuaian. Dalam hal ini, guru biasa membantu pelajar-pelajarnya menyesuaikan diri dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental, emosi, persekitaran dan sebagainya. Penyesuaian ini berlaku secara langsung atau tidak langsung sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Hal ini demikian kerana supaya pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan situasi baru yang mereka hadapi. Hal ini disebabkan semua pelajar mempunyai latar belakang yang berbeza sama ada dari segi budaya,  agama, kaum dan keluarga. Justeru, guru perlu memainkan peranan dalam membimbing pelajar dengan membiasakan mereka menghadapi situasi sebenar dengan memberi nasihat, motivasi serta kata-kata yang boleh meningkat semangat pelajar. Dalam konteks ini, guru perlu lebih memahami pelajarnya melalui pemerhatian yang dilakukan terhadap sikap dan keadaan pelajar-pelajar di dalam bilik darjah.  Jika terdapat pelajar yang kelihatan murung, guru perlu mengambil tindakan dengan mengadakan perjumpaan dengan pelajar tersebut dan mengambil langkah-langkah yang sesuai.

            Peranan guru biasa sebagai kaunselor seterusnya membimbing pelajar membuat keputusan. Pengalaman yang dimiliki oleh guru berbanding dengan pelajar membolehkan guru lebih bijak dalam membuat sesuatu keputusan. Justeru, guru perlu membimbing murid untuk membuat keputusan yang bijaksana dan rasional dalam pelbagai situasinya dalam kehidupan mereka supaya mereka tidak kehilangan jalan dalam kehidupan. Dalam konteks ini, guru hanya memberi cadangan kepada murid, tetapi hak untuk membuat keputusan adalah berada di tangan pelajar tersebut. Selain itu, guru juga perlu memastikan keputusan yang dibuat oleh murid adalah berpandukan nilai-nilai moral, agama, terminal dan juga instrumental. Hal Ini disebabkan nilai-nilai adalah penting dalam memberikan panduan dalam kehidupan manusia. Guru-guru biasa juga boleh membantu murid-murid untuk memilih mata pelajaran -mata pelajaran yang mereka ingin belajar dan berkomunikasi dengan mereka secara kerap untuk berfikir tentang bidang-bidang kerjaya yang mereka akan ceburi pada masa depan kelak.

            Seterusnya, peranan guru biasa sebagai seorang kaunselor ialah membentuk tabiat kerja murid. Pembentukan tabiat positif mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti positif terhadap kesukaran yang dihadapi, peka terhadap masa, yakin terhadap kebolehan diri, berani mencuba untuk kebaikan dan lain-lain lagi. Pembentukan tabiat positif ini haruslah diberi penekanan oleh guru di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai iktibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mencapai kejayaan.

            Oleh itu, dapat dirumuskan guru biasa juga mempunyai peranan yang hampir sama dengan seorang kaunseling iaitu sikap pembimbing. Sememangnya sifat pembimbing ini dimiliki oleh seorang dalam membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru biasa juga harus memiliki kemahiran-kemahiran dalam proses membimbing agar dapat  menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar dan memudahkan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Catat Ulasan

0 Ulasan